Tuesday, December 14, 2004

reallifegoeslikethis

reallifegoeslikethis



Lama-lama aku jadi takut. Takut menjadi diri aku sendiri.

Takut untuk menghadapi esok kerna semalam mengajar aku betapa banyaknya kemungkinan. Dan betapa aku tak boleh mengawal banyak hal. Dan betapa 'mungkin' itu datang tiba-tiba dan merosakkan rancangan-rancangan dan aturan-aturan.

Ini bulan kemungkinan. Kemungkinan yang buruk jadi baik dan yang baik jadi buruk. Kemungkinan bererti yang boleh disangka atau yang langsung tak tersangka-sangka. Sungguh-sungguh kemungkinan itu menakutkan.

Kemungkinan ada kaitan dengan harapan. Ia jadi batu loncatan buat harapan, dan nanti harapan akan berada di atas kerana kemungkinan. Ia juga batu uli buat harapan, kelak ia akan tenyeh-tenyeh harapan dan bunuh ia.


Kita mampu berharap kerana hidup memang penuh kemungkinan. Mungkin begitu dan mungkin begini.

Tapi ikhlasnya kita hanya akan berharap bilamana perkara itu di luar usaha kita. "Ada mungkinnya ia jadi begini..". Kerna rasa putus asa mula menjamah hati kita dan bayang-bayang gagal serta jauh daripada impian makin jelas pada mata hati kita. Maka waktu itulah kita zahirkan 'kemungkinan' dan 'harapan' itu di lidah dan di akal.

Kita tak butuh harapan bila semuanya nampak di tangan kita. "Ah, senang saja". Kita lupakan kemungkinan dan betapa kita tak kepingin sangat untuk berharapan. Kerna semuanya seolah-olah dalam kawalan. Di bawah kuasa kita. Pergi mati kemungkinan dan bodohlah mereka yang berharap.

Kemungkinan tak pernah lari. Dan semuanya mungkin saja.

Mungkin bagi yang berusaha berjaya. Mungkin bagi yang tidak berusaha gagal. Itu BUKAN hukum alam. Itu kemungkinan alam. Ia sekadar KEMUNGKINAN yang berulang-ulang hinggakan kita jadi lupa bahawa ia bukan hukum. Seperti lupanya kita pada makan yang tak memberi kenyang dan air yang tak hilangkan dahaga.


Lalu menjeritlah kau pada aku: Yang penting usaha!

Aku tak sebodoh itu. Walaupun banyak kalinya kau memandang aku seperti si tolol yang terlalu gemar berfalsafah, sedangkan sebenarnya aku melihat sesuatu yang tak ingin kau lihat. Hakikat

Kita kan selamanya usaha. Tunggang-langgang dan lintang-pukang. Berpeluh , berdarah atau berhempas-pulas. Kerna kita hamba.

Cuma hakikatnya semuanya kemungkinan. Dimungkinkan yang tak mungkin. Dimungkinkan yang mungkin. Kerna mungkin atau tak mungkin itu bagi firasat akal manusia. Tiada mungkin dan tidak mungkin pada pandangan tuhan.

Semuanya mungkin. Segalanya mungkin.

Maka hidup ini sebenarnya adalah kemampuan dan kesediaan. KEMAMPUAN dan KESEDIAAN KAU MENGHADAPI KEMUNGKINAN.





______________________________________

tAK Peliklah jika ada yang menangis berhari-hari bila ditinggalkan yang dikasihi. Tak mustahil ada yang gila bila hilang harta. Tak luarbiasa mereka membunuh diri bila 'gagal' menghadapi hidup.

Kerna kesia-siaan mereka mencuba untuk menghalang KEMUNGKINAN. Tiada yang mustahil di tangan Tuhan.



Hidup ini kemungkinan. Bukan satu malahan berjuta jalan. Maka berharaplah pada sejuta harapan.